Buah Yang Manis Dan Sedap

Di dalam struktur kehidupan manusia ini, ada orang bawahan dan ada orang atasan. Orang bawahan dipimpin oleh orang atasan. Orang atasan pula, ada lagi orang yang di atasnya. Jadi, setiap manusia itu ada pemimpinnya.

Pemimpin itu berbagai-bagai peringkat dan mengikut kelompok-kelompok manusia yang tertentu. Murid dipimpin oleh guru. Anak dipimpin oleh bapa. Pekerja dipimpin oleh pengurus. Rakyat dipimpin oleh ketua negara dan begitulah seterusnya.

Namun, walaupun semua manusia itu ada yang memimpinnya, tapi kita lihat manusia itu macam tidak terpimpin. Akhlak rosak. Moral jatuh. Selalu sahaja terlibat dengan salah laku dan maksiat. Walhal, kita yakin dan kita tahu, tidak ada pemimpin yang menyuruh mereka berbuat jahat. Tidak ada pemimpin yang menyuruh mereka berbuat maksiat dan melanggar undang-undang.

Tidak ada pemimpin yang sengaja mengajar dan menyuruh anak-anak buah mereka berjudi, minum arak, mencuri, merompak, berzina dan sebagainya. Tidak ada ayah yang mengajar anak-anak mereka berbuat jahat. Tidak ada guru yang mengajar murid-murid mereka berbuat maksiat. Tidak ada ketua negara yang menyuruh rakyatnya membuat huru-hara dan melanggar undang-undang. Kebanyakan pemimpin melarang anak-anak buah mereka berbuat jahat. Malahan ada yang menghukum anak-anak buah yang membuat salah laku.

Mengapa dan kenapa manusia masih cenderung dan melibatkan diri dengan maksiat dan salah laku, kalau ianya tidak diajar dan tidak disuruh oleh pemimpin mereka?

Sebenarnya ini bukan masalah diajar atau tidak diajar, atau masalah disuruh atau tidak disuruh. Ia berkait dengan benih yang ditanam oleh pemimpin di hati anak-anak buah. Bila benih yang ditanam oleh pemimpin itu baik maka anak-anak buahnya akan jadi baik. Apabila benih yang ditanam itu jahat maka anak-anak buah akan jadi jahat.

Tambahan pada itu, bila benih yang ditanam itu tumbuh dan disuburkan pula oleh persekitaran yang tidak baik dan pengaruh-pengaruh yang negatif seperti pergaulan bebas, salah guna dadah, program-program TV, VCD lucah, komik lucah, majalah lucah, pop, rock metal dan sebagainya, maka ia akan cenderung ke arah jahat dan akhirnya akan jadi jahat.

Dalam kita mencari-cari seorang pemimpin yang sudah berjaya memimpin jemaah atau kumpulannya kita boleh berpandukan kepada hasil buah-buahan yang kita boleh rasa dari ladang pemimpin tersebut.

Dengan pimpinan seorang yang berwibawa, membawa manusia kepada Tuhan hasil yang boleh dilihat ialah orang tak pernah sembahyang dah mula sembahyang, orang tak tutup aurat dah mula tutup aurat, orang tak pemaaf dah jadi pemaaf.Orang yang tak berkasih sayang sudah berkasih sayang.

Jika kita pergi kebun orang, kemudian kita dapat makan rambutan manggis sedap, tetapi tiba-tiba kita cakap pada orang kebun ni, awak tak belajar ke? mengapa? sebab rambutan awak manis durian awak sedap. Sudah tentu kita dikatakan sebagaiorang yang tidak waras.Kalau buah yang kita makan itu tak sedap atau masam bolehlah kita kata dia salah tanam atau salah benih.Tetapi kita dapat makan hasil tanaman yang sedap,bermakna kita ada penyakit dalam hati.

Sekiranya hasil dari didikan seorang pemimpin itu tidak baik, akhlak-akhlak anak buahnya teruk belaka, barulah boleh dikatakan orang itu tersalah benih dan tersalah cara menanam. Bila kita dapat merasai makanan yang sedap sudah tentu kita puji tukang masaknya dan kita tak persoalkan cara dia masak itu betul atau tidak. Peliknya ialah kalau ada orang sudah merasai makanan yang sedap itu kemudian memberi komen, awak ini salah belajar memasaklah kerana makanan awak sedap.

Dalam kita mencari benih untuk ditanam diladang perlu kita kenal benih apa yang boleh ditanam. Apakah dia benih jahat itu? Benih jahat ialah sifat cinta dunia (hubbud dunya) yang ditanam di hati anak buah. Sifat cinta dunia ini akan menjadikan anak buah itu ahli-ahli dunia dan akhirnya hamba dunia. Sifat cinta dunia ini ialah ibu segala maksiat. Orang yang telah ditanam benih cinta dunia di hatinya, dia tidak ada cita-cita lain selain untuk merebut dan mendapatkan dunia.

Benih yang baik pula ialah rasa cinta dan takut kepada Allah dan cintakan Akhirat. Orang yang hatinya telah diisi dengan rasa cinta dan takut kepada Allah ini akan sentiasa terdorong untuk berbakti dan membuat kebaikan. Mereka tidak akan merebut-rebut dunia ini. Mereka lebih cenderung untuk membuat kebaikan dan kebajikan demi kebahagiaan mereka di Akhirat.

Oleh itu, para pemimpin tidak perlu banyak menyuruh dan melarang walaupun ini tidak salah. Apa yang perlu ialah berusaha menanam benih-benih yang baik di hati anak-anak buah. Bawa mereka kepada Tuhan. Kenalkan mereka kepada Allah. Tanamkan rasa cinta dan takut kepada Allah di hati-hati mereka. Bawa hati-hati mereka untuk mencintai Akhirat. Ajar mereka supaya menganggap dunia ini perkara remeh yang tidak mempunyai nilai apa-apa. Ajar mereka supaya tidak merebut dunia tetapi menggunakan dunia ini untuk mendapatkan Akhirat.

Di samping itu pelihara persekitaran daripada pengaruh-pengaruh yang jahat dan negatif yang boleh merosakkan. Daripada budaya kuning dan hiburan sumbang. Daripada kegiatan yang merosak dan melalaikan. Ini sebenarnya tugas pemimpin dalam mendidik anak buah. Ini tanggungjawab orang atasan terhadap orang bawahan. Ini tugas bapa terhadap anak. Ini tugas guru terhadap murid. Ini tugas pengurus terhadap pekerja. Ini tugas ketua negara terhadap rakyat jelata.

Kalau benih-benih baik ini dapat ditanam di dalam hati orang-orang bawahan, maka kerja memelihara dan mendidik mereka akan jadi mudah. Tidak perlu banyak suruh-suruh. Tidak perlu banyak larang-larang. Benih yang baik akan cenderung untuk menuju kebaikan.