Tips Kembara Hutan (Part 4)

Kebersihan

Cuba sedaya upaya untuk mandi setiap hari kerana ini akan mengelakkan ruam atau setidak- tidaknya lap tempat-tempat yang mudah berpeluh seperti dibawah ketiak menggunakan kain basah sebelum anda tidur. Jangan sekali-kali meninggalkan barangan asing yang tidak mudah hancur di dalam hutan seperti bag plastik dan puntung rokok kerana ia akan mencemarkan kawasan tersebut. Bawa keluar semua sampah selepas anda selesai pengembaraan. Adalah lebih baik menggunakan plastik sampah yang tebal untuk mengelakkan dari pecah semasa anda membawanya. Sampah yang mudah hancur hendaklah ditanam di dalam lubang sedalam (sekurang-kurangnya ) setengah meter supaya ia mudah hancur dan mengelak dari mencemari kawasan tersebut. Jangan biar tin-tin kosong berselerakan. Untuk mudah dibawa ketuk tin hingga leper dan masukkan kedalam plastik sampah atau beg anda.

Lubang sedalam setengah meter juga sesuai dijadikan tandas kerana ia mudah di timbus semula selepas digunakan. Ingat jangan jadikan sungai sebagai tandas vip anda. Jangan sekali-kali mencemari sungai, bertimbang rasa lah kepada pengguna lain.

Kebanyakan air sungai yang bebas menggalir didalam hutan boleh diminum terus tanpa perlu memasaknya terlebih dahulu.Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya air tersebut dimasak untuk mengelakkan jangkitan kuman leptospirosis ( akibat dari air kencing tikus). Jangan abaikan kesihatan anda ketika berkembara.

Saiz kumpulan

Saiz kumpulan/peserta adalah bergantung kepada tempat yang anda ingin jelajahi . Sekiranya tempat yang anda tuju itu lengkap dengan kemudahan asas dan perjalanannya agak dekat , jumlah peserta yang besar tidak menjadi halangan. Akan tetapi sekiranya tempat yang anda tuju itu jauh ke dalam hutan yang mengambil masa yang lama untuk sampai, kumpulan seramai 10 hingga 12 orang amat sesuai kerana ianya agak mudah dikawal. Saiz kumpulan yang besar sekitar 40 hingga 50 orang agak sukar di kawal dan ini akan mudah merosakkan kawasan hutan yang dilalui.

Jurupandu juga banyak bergantung kepada saiz kumpulan tersebut. Sekiranya kumpulan yang besar beberapa orang jurupandu mungkin diperlukan. Adalah dinasihati supaya anda mempunyai sekurang-kurang dua orang jurupandu atau orang yang mengetahui selok belok tempat yang dituju supaya sekiranya berlaku sesuatu yang tidak di ingini kepada jurupandu, anda masih mempunyai seorang lagi jurupandu untuk membawa anggota kumpulan anda keluar atau meminta bantuan.

Ancaman Bahaya

Amat banyak tetapi selalunya boleh dielak. Binatang buas selalunya tidak akan menyerang manusia melainkan ia diancam terlebih dahulu. Cuba elak dari tempat yang dikenal pasti terdapat harimau, gajah atau buaya. Maklumat seperti ini boleh didapati dari pejabat perhutanan atau balai polis yang berdekatan dengan tempat yang anda ingin tuju . Minta nasihat dari pihak berkuasa tempatan sebelum anda melangkah ke sesuatu kawasan hutan. Kebiasaannya pihak perhutanan atau renjer ada memantau pergerakkan binatang buas di kawasan jagaan mereka.

Ular dapat merasa getaran apabila ada musuh menghampiri dan selalunya ia akan menjauhkan diri. Jangan sekali-kali cuba menggali lubang yang terdapat di dalam hutan dikhuatiri ianya adalah sarang kepada ular yang berbisa. Sekiranya anda ingin menggali lubang untuk di jadikan lubang sampah, gali lubang baru atau jauh dari lubang yang anda temui itu. Beruang selalu nya tidak akan menggangu manusia tetapi ia boleh menjadi agrasif sekiranya terkejut dan berkemungkinan menyerang sekiranya terserempak dengan anda.

Kala Jengking, halipan, lebah dan ulat bulu beracun adalah diantara banyak serangga yang biasa di temui di hutan. Sengatan mereka agak menyakitkan tetapi agak kurang bahaya. Tetapi kepada mereka yang alah kepada racun serangga ini boleh mengakibatkan gatal gatal atau mungkin mengakibatkan kematian. Mengambil pil Anti-histamine atau epinephrine jab merupakan langkah berjaga-jaga yang baik. Untuk mengelakkan dari serangga ini memasuki khemah taburkan sedikit garam atau belerang di sekeliling khemah anda.

Pacat juga merupakan satu ancaman . Gigitan pacat boleh menyebabkan pendarahan yang berpanjangan tetapi ianya tidak membahayakan. Ianya akan menyebabkan rasa gatal yang berpanjangan dan mungkin akan menyebabkan kudis sekiranya tidak di rawat dengan ubat anti-septik.

Di sesetengah kawasan, demam malaria merupakan ancaman yang agak merbahaya. Adalah dinasihatkan supaya anda mengambil pil anti-malaria satu minggu sebelum, memulakan pengembaraan terutama pengembaraan yang memerlukan anda tinggal di dalam hutan lebih dari seminggu. Adalah lebih baik menghindari kawasan pembiakan nyamuk (sekiranya anda mempunyai maklumat terlebih dahulu) atau anda boleh juga menggunakan krim pencegah serangga. Sentiasa tutup (zipped-up) khemah sepanjang masa untuk mengelakkan dari nyamuk atau serangga memasukinya.

Batu adalah merbahaya. Kebanyakkan kasut akan menggelonsor di atas batu yang basah. Walaupun kecil batu adalah sangat licin. Sekiranya anda tergelincir, ianya boleh menyebabkan kemalangan. Berhati-hatilah semasa melangkah terutama di kawasan berbatu dan berair.

Alur sungai juga boleh bertukar menjadi sungai yang besar sekiranya terdapat hujan di hulu. Anda mungkin menyeberang alur sungai beberapa jam sebelumnya tetapi ianya mungkin bertukar menjadi sangat deras dan ganas dalam masa beberapa minit sahaja. Banjir kilat adalah fenomena yang biasa di hutan terutama di kawasan hutan hujan tropika seperti terdapat di Malaysia. Banjir kilat boleh meghanyutkan kayu balak yang besar dan sangat merbahaya sekiranya anda berada di laluan sungai tersebut. Jangan sekali kali anda berkhemah terlalu hampir dengan tebing sungai, anda mungkin dihanyutkan air semasa sedang tidur.

Jangan bergerak sendirian ketika didalam hutan. Jika anda ingin mandi, membuang air kecil/besar atau menikmati keindahan hutan jangan pergi bersendirian. Tentukan anda membawa rakan anda bersama dan memaklumkan pergerakan anda kepada ketua kumpulan dan memberitahu kemana, berapa lama dan siapa bersama anda. Ini akan memudahkan mereka mengesan anda jika sesuatu hal terjadi. Jika anda keluar bersendirian tanpa pengetahuan rakan-rakan tentulah menjadi sukar jika sesuatu yang tak diingini berlaku kepada anda. Walau apa pun yang anda lakukan sentiasa fikirkan keselamatan diri dan kumpulan anda.

Sebelum anda memulakan pengembaraan, adalah perlu melaporkan kumpulan anda kepada pihak berkuasa tempatan atau pihak polis yang berdekatan. Ini untuk memastikan ada pihak yang mengetahui pergerakan kumpulan anda sekiranya berlaku sebarang pekara yang tidak dingini. Dan sebelum anda meninggalkan tempat tersebut lapur diri semula di pejabat yang anda buat sebelum ini.

Sekiranya anda tersesat, jangan sekali-kali panik. Persiapkan diri atau kumpulan anda untuk bermalam di kawasan yang anda fikir sesuai dan selamat. Jangan cuba untuk mencari jalan keluar kerana mungkin anda akan tersesat lebih jauh lagi. Adalah mudah bagi menemui anda sekiranya anda diam di satu tempat dari anda meneruskan perjalanan. Nyalakan unggun api supaya mudah di kesan dari udara. Sekiranya anda terpaksa meninggalkan tempat itu cuba ikut aliran sungai dan meninggalkan (tanda) jejak anda supaya mudah di kesan oleh pasukan pencari atau sekiranya anda terpaksa berpatah balik.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ketua kumpulan adalah di galakkan untuk menyediakan satu wisel kepada setiap ahli dalam kumpulannya. Pastikan wisel berada dekat dengan anda (gantungkan di leher). Jika anda tersesat, tiup wisel sekerap mungkin. Tentunya rakan-rakan yang sedang mencari akan dapat mengesan bunyi wisel anda. Seperti selalunya beringat sebelum terlambat.

Tidak dinafikan banyak yang anda perlu ingat. Akan tetapi sekiranya anda selalu berkembara kedalam hutan, pengalaman akan mengambil alih tugas tersebut. Setengah pengetahuan itu hanya boleh di timba melalui pengalaman, jadi apa di tunggu lagi…. Jom kita ke Hutan!