Tips Kembara Hutan (Part 3)

Makanan

Jenis makanan yang dibawa amat bergantung kepada jangka masa sesuatu perjalanan. Ia boleh di katagorikan kepada tiga bahagian atau bentuk iaitu makanan kering, makanan basah atau makanan dalam tin. Memasak di dalam hutan sepatutnya dilakukan dengan mudah, cermat dan selamat samada menggunakan kayu api, lilin memasak atau dapur gas.

Mee segera , roti atau nasi merupakan pilihan yang baik kerana ianya agak ringan berbanding dengan makanan yang lain. Dapur gas mudah alih (Butane Stoves) dan mess tins merupakan alatan berbagai fungsi (sebagai kuali, periuk ,pinggan atau cerek) dan ianya agak ringan dan mudah di bersihkan. Makanan yang kaya dengan tenaga seperti coklat bar, kentang goreng, nestum atau oat merupakan makanan segera yang amat mudah dibawa dan dimasak. Bila berkembara jangan terlalu memikirkan keselesaan kerana setiap perjalanan pasti ada pahit manisnya & pengalaman akan menjadikan kita lebih dewasa. Sentiasa sematkan didalam minda akan motto utama kembara iaitu ” Lebih Sukar Lebih Mencabar”. Nah ! ianya menggambarkan segalanya.

Peralatan

Membawa barang-barang yang perlu merupakan langkah yang paling utama. Adalah penting untuk membawa barangan ringan untuk menikmati keseronokan pengembaraan akan tetapi anda perlu juga memikirkan peralatan kecemasan. Kebanyakkan pengembara yang kurang berpengalaman, cenderong membawa barangan yang tidak begitu diperlukan yang hanya akan menambah berat bag masing-masing. Adalah tidak perlu untuk membawa peralatan bersolek atau minyak wangi didalam hutan, bedak antiseptik (antiseptik talc) sudah memadai. Berat yang minimum merupakan objektif utama.

Sekiranya anda mengembara didalam satu kumpulan, perancangan adalah amat penting supaya tiada barang yang sama dibawa didalam kumpulan tersebut. Ketua kumpulan seharusnya tegas dalam menentukan barangan yang akan dibawa untuk memastikan berat setiap ahlinya berada didalam kadar yang paling minimum.

Peti Bantuan Kecemasan (First Aid Kits)

“Don’t leave home without it” itulah rangkap kata yang sering kali dikaitkan dengan peti bantuan kecemasan apabila anda bercadang untuk berkembara. Memang benar tiada siapa yang inginkan kecelakaan tetapi mengambil tindakan berjaga-jaga adalah salah satu cara menghindarinya. Dalam setiap kumpulan atau individu yang ingin berkembara adalah diharuskan membawa sekurang-kurangnya 1 peti bantuan kecemasan. Memadai dengan beberapa tablet panadol, minyak sapu, pil cirit birit, minyak cap kapak, kapas dan beberapa ubat-ubatan yang dirasakan perlu. Tentukan bekas peti bantuan kecemasan anda tidak mudah diresapi air, jalan selamat ialah dengan membalut peti anda dengan plastik.

Apa yang perlu dibawa untuk pergembaraan dalam masa sehari:

Air yang mencukupi, makanan ringan dan sedikit alat pertolongan cemas. Ini adalah barangan yang diperlukan sekiranya anda mengetahui kawasan yang anda ingin terokai. Akan tetapi sekiranya tempat tersebut agak baru bagi anda, adalah dinasihatkan supaya anda membawa sedikit makanan berat seperti roti sebagai makanan sokongan sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan anda terpaksa bermalam di dalam hutan. Peralatan utama seperti mancis api,lampu suluh, pisau dan baju hujan juga perlu di bawa untuk menghadapi kemungkinan diluar jangkaan.

Untuk pengembaraan yang melebihi dua hari:

Peralatan asas mandian, pakaian yang secukupnya, makanan, botol air, lilin memasak, mess tin, ground mat, khemah, lampu suluh, selipar, baju hujan( poncho), mancis api, pisau atau parang, kompas dan alatan bantuan kecemasan (ubat-ubatan) merupakan barangan yang perlu dibawa.

Alatan Tambahan:

Dapur gas mudah alih (gas storve ), lampu pelita( gas/ minyak/lantern) dan tali merupakan alatan tambahan yang diperlukan sekiranya kawasan yang anda akan terokai itu agak merbahaya.

Berjalan

Teknik berjalan didalam hutan agak sukar dipelajari melalui membaca, anda seharusnya boleh belajar hanya melalui pengalaman sendiri. Pengembara berpengelaman sekalipun boleh melakukan kesilapan.

Rancang perjalanan supaya anda dapat menentukan rentak (kelajuan) berjalan ,tahap kecergasan dan keupayaan anda. Jangan sekali kali cuba untuk berlumba sesama sendiri semasa berjalan kerana ini akan menganggu tumpuan anda terhadap jalan yang anda lalui. Cuba untuk tidak memijak batu, kayu mati, akar atau lumpur semasa berjalan. Lakukan senaman memanaskan badan terutamanya bahagian kaki sebelum melakukan perjalanan kerana ini akan melancarkan perjalanan darah dan mengelakkan kekejangan otot, disamping menggurangkan senggal/lengguh badan. Kebiasaanya senggal/lengguh badan akan mula terasa 1-2 hari selepas selesai berkembara. Untuk menggurangkan rasa sakit, senggal atau lengguh badan, makan dua biji panadol selepas sahaja selesai penggembaraan.

Jangan sekali kali merasa terkejut dengan keadaan laluan/jalan, anda seharusnya sudah bersedia menghadapi sebarangan keadaan yang diluar jangkaan. Bertenang dan cuba menikmati keindahan hutan semulajadi disekeliling anda. Berjalan dengan perlahan tetapi berterusan akan menggurangkan kepenatan. Berjalan pantas kemudian berehat panjang kurang baik untuk tubuh anda . Berhenti rehat dalam jangka waktu 5 minit adalah amat memadai (jangan sampai peluh kering). Adalah dinasihati supaya terus berjalan semasa badan anda masih panas.

Jangan minum air terlalu banyak semasa berjalan kerana ini akan membuat badan anda berat dan melambatkan pergerakan, namun begitu anda digalakkan meminum air dalam kuantiti yang rendah selang 20 minit berjalan bagi mengelak badan anda dari kehilangan air (dehydrated) keesokkan harinya.

Elakkan minuman bergas kerana ini akan menggangu perut anda dan mengakibatkan pening kepala dan loya tekak. Bagi wanita yang memakai tudung, pastikan anak tudung yang di gunakan dalam keadaan longgar dan selesa. Anak tudung yang ketat akan mencengkam kulit kepala dan ini serba sedikit akan membataskan pergerakan darah dan secara langsung akan mengakibatkan pening/sakit kepala.

Menyeberangi sungai memerlukan kerjasama dari setiap ahli kumpulan. Jangan sekali kali memegang bag kawan anda semasa menyeberangi sungai kerana sekiranya terjatuh anda akan menarik sekali kawan anda . Ini amat merbahaya sekiranya sungai yang cuba anda seberangi agak dalam, memegang tangan adalah cara yang paling selamat. Jangan beranggapan sungai yang cetek tidak ada bahayanya. Jika sungai yang hendak diseberagi berarus deras , rentangkan tali diantara dua tebing (depan/belakang) bagi memudahkan proses menyeberang. Pegang tali dengan kemas dan pastikan hanya 2 atau 3 orang menyeberang dalam satu-satu masa bagi mengelakkan tali menjadi terlalu tegang yang boleh mengakibatkan tali terputus atau terbuka ikatannya. Bukakan tali bag yang merangkungi pinggang anda sebelum menyeberangi sungai. Sekiranya anda terjatuh atau tergelincir, anda hanya perlu melepaskan bag tersebut sebelum anda dihanyutkan oleh arus sungai.

Anda tidak digalakkan menyeberangi sungai dengan menggunakan kasut, gunakan sandal. Kasut dan stokin yang basah akan menggangu perjalanan anda dan juga akan mengakibatkan kaki anda mudah luka/melecet dan ini tentunya tidak menyelesakan anda. Anda juga sama sekali tidak dibolehkan menyeberangi sungai tanpa memakai alas kaki (kasut/sandal/ selipar), tiada siapa yang tahu apa yang ada didasar sungai dan untuk keselamatan anda gunakan alternatif lain jika keadaan memaksa.