Tips Kembara Hutan (Part 2)

Bag

Pilihan bag bergantung kepada

a) jenis pengembaraan; b) jarak masa berada di luar

c) kekerapan anda; d) kesanggupan berbelanja.

Bag atau haversack hendaklah mempunyai kerangka dalam yang di jahit di dalam bag dan tali (straps) yang boleh di laras mengikut kesesuaian. Anda haruslah selesa semasa memikul bag anda. Bag yang baik haruslah mempunyai padding yang baik, strap dada dan beberapa poket disebelah tepi dan atas. Ianya juga haruslah mempunyai lash-point untuk menggantung peralatan yang besar seperti ground mats (alas tanah), kantung tidur (sleeping bag) dan khemah. Bag berkapasiti 35 hingga 45 liter cukup sesuai untuk tiga hari berkembara (pergi & balik). Untuk jangka masa seminggu, anda memerlukan bag yang berkapasiti 60 liter atau lebih. Barangan yang berat hendaklah di simpan di bahagian bawah bag. Ketatkan waist strap (tali di pinggang) semasa berjalan untuk mengurangkan kesakitan/lenguh pada bahu anda. Berat bag yang amat sesuai semasa pengembaraa ialah 15Kg.

Bungkuskan barangan anda terutama baju didalam plastik sebelum memasukkannya kedalam bag, ini akan menghalang air (hujan atau sungai) dari merosakkan barangan anda terutama bag tidur dan pakaian. Kebanyakkan bag di pasaran adalah diimport dan agak mahal. Pilihlah bag yang sesuai dengan aktiviti yang anda ingin sertai. 45 – 60 liter amatlah sesuai untuk pengembaraan hutan di Malaysia kerana paling lama anda mungkin berada di dalam hutan adalah untuk tempoh satu minggu.

Pakaian

Pakaian haruslah sesuai untuk humuditi (suhu) dan kepanasan hutan. Semua pakaian hendaklah disimpan di dalam plastik sampah ( diikat supaya tidak dimasuki air). Amatlah penting untuk mempunyai pakaian yang kering terutama apabila anda bersiap sedia untuk tidur.

Bawa hanya pakaian yang diperlukan sahaja. Sehelai seluar boleh dipakai sehingga tiga hari. Jikalau pengembaraan memakan masa beberapa hari, cuci pakaian anda, tetapi ambil perhatian pakaian akan mengambil masa yang agak lama dari kebiasaan untuk kering bila berada di dalam hutan. Ringan, nipis dan cepat kering merupakan kriteria utama semasa memilih pakaian untuk di bawa. Pakaian yang diperbuat dari nylon cukup sesuai untuk dibawa kerana ianya ringan dan cepat kering. Untuk melindungi kaki anda, seluar cotton atau nylon trak cukup sesuai. Jangan sekali kali membawa seluar jeans, sweater atau kasut boots.

Pilihan kasut perlulah disesuaikan dengan aktiviti dan bentuk mukabumi yang akan dilalui. Kebanyakkan kasut yang diimpot hanya sesuai digunakan untuk berjalan tetapi tidak begitu sesuai untuk kegunaan pendakian. Kasut getah (selalunya dipakai oleh penoreh getah di zaman dahulu) adalah amat sesuai untuk pendakian gunung kerana ianya murah, ringan dan tahan lasak.

Untuk trek yang senang, sepasang sandal yang kuat adalah pilihan yang baik terutama apabila terpaksa mengharungi sungai atau alur air. Akan tetapi, laluan sukar dan berbatu seperti trek ke gunung, kasut hiking adalah amat sesuai untuk memastikan keselesaan semasa mendaki dan menuruni gunung. Untuk mengelakkan kaki dari luka/melecet akibat berjalan terlalu lama, jangan lupa memakai stokin.

Khemah

Khemah berbentuk Kubah (Dome Tent) adalah pilihan yang terbaik. Walaupun Khemah A-Frame masih terdapat di pasaran tetapi ianya agak kurang popular kerana ia agak sukar dipasang semasa di dalam hutan berbanding dengan Khemah Kubah. Four-Man Tent adalah sesuai untuk di huni oleh tiga orang sahaja. Untuk Khemah Kubah ianya agak mudah di pasang, hanya lima minit diperlukan untuk mendirikan sebuah khemah kubah berbanding dengan A-frame tent yang mungkin mengambil masa hampir 30 minit. Khemah Kubah juga tidak memerlukan khemah di “pacak” ke tanah dan ianya amat ringan sekali. Jangan sekali-kali menggunakankan alat memasak bergas (gas stove) atau lampu bergas (gas latern) di dalam khemah kerana ini akan menyebabkan kesukaran bernafas (asphyxiation) dan boleh mengakibatkan kematian.

Satu cara paling mudah untuk tidur sewaktu berkembara ialah dengan menggunakan kantung tidur atau sleeping beg. Kebiasaannya sleeping beg boleh kita miliki dengan berbelanja sekitar RM 30 –RM 60. Kebanyakkan Kantung Tidur yang diimpot agak besar dan berat. Untuk cuaca di hutan Malaysia, kantung tidur yang nipis sudah memadai. Alaskan kantung tidur anda dengan ground mat yang boleh didapati di pasaran dengan mudah dan murah. Dengan RM 12 ground mat, dapat menjamin keselesaan tidur anda. Fungsi ground mat ialah menghalang suhu kesejukan tanah dari meresap kebadan anda terutama diwaktu pagi.

Unggun Api

Sesetengah orang menyalakan unggun api dan setengahnya pula tidak. Sekiranya kawasan perkhemahan itu agak terancam oleh binatang buas ianya agak perlu memasang unggun api sekurang-kurangnya dapat menghalang binatang buas dari mendekati kawasan khemah anda. Asap dari unggun api dapat menghalau binatang buas dan juga serangga seperti nyamuk.

Gunakan kayu yang telah mati atau tunggul kayu untuk meghidupkan unggun api anda. Bersihkan kawasan sekeliling unggun api sebelum menyalakan api terutamanya daun-daun kering dan ranting-ranting kecil. Pagarkan unggun api tersebut dengan menggunakan batu supaya api tidak merebak. Pastikan api unggun mudah dikawal dan tidak dinyalakan terlalu hampir dengan khemah anda.

Belerang

Dengan menabur belerang disekeliling khemah juga adalah salah satu cara bagi mengelakkan tapak perkemahan anda dicerobohi oleh haiwan atau serangga menjalar seperti ular, halipan, ulat bulu atau kala jengking. Pastikan anda menaburkan belerang selepas sahaja khemah siap didirikan. Selain menabur belarang disekeliling khemah, adalah juga digalakkan melakukannya disekeliling tapak perkhemahan anda. Belerang yang berwarna kuning seakan-akan serbuk kunyit boleh dibeli di kebanyakan kedai yang menjual peralatan kembara dengan harga yang amat berpatutan.