Tips Kembara Hutan (Part 1)

Adab & Tatacara Kembara (sebelum, semasa & selepas)

Mukadimah

Dianugerahkan dengan Hutan Hujan Tropica yang luas, Malaysia merupakan salah satu distinasi Eco-tourisim atau pelancongan berasaskan alam semulajadi yang terkenal di rantau asia. Hutan tebal, sungai dan gunung ganang merupakan tulang belakang kepada hutan tropika ini. Kepada sesiapa yang sanggup menghadapi cabaran, peluang untuk menjelajah dan mengenal dengan lebih mendalam rahsia hutan amat terbuka luas.

Akan tetapi, hutan boleh dijadikan kawan dan ia juga boleh menjadi lawan sekiranya kita tidak betul-betul bersedia menghadapinya, baik dari segi kelengkapan peralatan, pengetahuan, kekuatan mental dan kekuatan fizikal. Untuk itu kita haruslah memahami segala bentuk cabaran yang sedia menanti dalam hutan sebelum cuba untuk menaklukinya kerana ia boleh menjadi sangat mencabar dan merbahaya dari banyak segi.

Di sini saya ingin membawa kepada anda sedikit panduan dan juga tatacara untuk hidup di dalam hutan sebelum kita bercadang melangkah ke alam semula jadinya yang penuh dengan keajaiban.

Permulaan

Rasa hormat dan cinta terhadap alam semulajadi merupakan permulaan yang baik sebelum melangkah lebih jauh ke dalam hutan. Disamping berfikiran terbuka, mempunyai perasaan yang positif terhadap hutan juga boleh membantu semasa berada di hutan.

Keadaan Fizikal dan Mental

Fizikal lebih menjurus kepada elemen kekuatan (tenaga luaran/penampilan) dan mental pula berteraskan elemen pemikiran ( kecekalan/tenaga dalaman).

Selalunya, mental akan terlebih dahulu mengaku kalah sebelum fizikal. Sekiranya mental anda awal-awal lagi sudah mengaku kalah, walaupun dari segi fizikal anda masih boleh meneruskan perjalanan maka anda tidak akan sampai ke detinasi yang di tuju. Akan tetapi sekiranya mental anda berkata anda akan sampai ke tempat yang di tuju, walau apa pun halangan fizikal yang dihadapi, anda akan tetap sampai juga akhirnya. Fizikal yang kuat dengan mental yang lemah tidak akan menjanjikan kejayaan.

Untuk menilai kekuatan mental bukanlah dengan cara melihat susuk tubuh seseorang itu kerana adakalanya orang yang bertubuh kecil itu lebih tinggi tahap kecekalan mentalnya dan begitu juga sebaliknya kerana tahap mental seseorang itu amatlah subjektif. Untuk membina mental yang kuat dan cergas, anda digalakkan menyemai keyakinan tinggi kepada diri sendiri. Sentiasa berfikiran positif. Disamping itu amalkan sifat terbuka dalam pergaulan, tidak mementingkan diri sendiri dan yang paling utama ialah pengisian jiwa kita dari sudut keagamaan.

Walaubagaimanapun, persediaan dari segi kekuatan fizikal adalah amat penting sebelum memulakan sebarang aktiviti pengembaraan. Untuk aktiviti yang mencabar ianya memerlukan anda bersedia dari segi fizikal dan memerlukan ketahanan stamina yang agak tinggi. Aktiviti seperti berjogging, atau berbasikal boleh dijadikan aktiviti persediaan yang baik sebelum memulakan pengembaraan lasak untuk membina ketahanan fizikal. Amalan menggunakan tangga untuk bergerak ketika dipejabat adalah juga sebahagian daripada latihan untuk mengguatkan lutut dan betis.

Untuk pengembaraan hutan (jungle trecking) yang tidak melibatkan pendakian gunung, anda tidak begitu memerlukan keadaan fizikal yang baik. Akan tetapi jika pengembaraan yang melibatkan pendakian gunung, anda haruslah mempunyai keupayaan fizikal yang kuat dan stamina yang tinggi kerana ketika mendaki anda akan membawa bersama lebih kurang 15kg bebanan (bag) dan ini memerlukan kekuatan pada kaki dan belakang. Dan semasa menuruni bukit kekuatan leher dan kaki amatlah penting supaya tidak mudah tergelincir.

Anda mestilah belajar menerima dan cepat menyesuaikan diri kepada perubahan cuaca atau keadaan sekeliling apabila berada didalam hutan. Faktor cuaca seperti cuaca sejuk, panas mahupun hujan, ribut atau banjir adalah sebahagian daripada kemungkinan yang harus dihadapi. Berfikirlah secara matang dan jangan terburu-buru dalam membuat keputusan. Pertimbangkan semua peluang yang ada sebelum mengambil sebarang keputusan, sebaik-baiknya anda berbincang dengan rakan-rakan dalam menentukan tindakan anda seterusnya.

Adalah lebih baik sekiranya anda mengumpul semua maklumat tempat atau lokasi yang anda ingin tujui sebelum memulakan perjalanan. Ini sedikit sebanyak boleh menolong anda menyediakan peralatan yang perlu untuk menghadapi keadaan yang bakal ditempohi. Dalam sesetengah kes, pengambara yang berpengalaman juga boleh menghadapi masalah dalam menghadapi perubahan keadaan atau cuaca sekiranya tiada persediaan rapi.