Formula Kecemerlangan

FORMULA KECEMERLANGAN: BINALAH GOL DAN BERUSAHALAH. ANAK PANAH HANYA BERKESAN SELEPAS IA KELUAR DARI BUSURNYA MENUJU SASARAN

1- KENALI BERLIAN SEBAGAI BERLIAN. Kecemerlangan bermula dengan ilmu. Ilmu diumpamakan seperti permata. Anda tidak akan dapat menghargai berlian jika anda melihatnya sebagai kaca. Justeru binalah kesedaran tentang kepentingan ilmu. Ia seperti berlian. Ingatkan diri tentang nabi Adam. Sebelum menjadi khalifah di bumi baginda menguasai ilmu terlebih dahulu (rujuk al-Baqarah ayat 31). Ingatlah tentang ayat pertama yang dikurniakan kepada nabi Muhammad iaitu “iqrak” dan ia berkaitan dengan penguasaan ilmu yang baik. Ingatkan diri bahawa kita akan merempat tanpa ilmu. Kita akan dimalukan tanpa ilmu. Salah satu contoh yang baik ialah tokoh Islam yang bernama al-Biruni. Ketika beliau sedang nazak, beliau telah diziarahi oleh sahabatnya. Ketika itu beliau terus bertanya tentang satu hukum yang agak sulit berhubung dengan masalah waris pusaka. Berkata sahabatnya, “Sesuaikah untuk kita berbincang tentang perkara ini sekarang?” Al-Biruni menjawab, “Aku lebih suka mati dalam keadaan berilmu daripada jahil.” Kejarlah permata. Kejarlah ilmu.

2- BINALAH GOL. Binalah matlamat YANG JELAS dalam hidup. Dalam bahasa mudah, pastikan dalam hidup ini anda tahu hendak ke mana. Jangan lupa, rasul-rasul yang wajib diimani iaitu nabi Adam, Idris, Noh, Hud, Salih, Ibrahim, Luth, Ismail, Ishak, Yaakob, Yusuf, Ayub, Syuaib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasak, Yunus, Zakaria, Yahya, Isa dan Muhammad diutus dengan matlamat yang jelas. Dalam surah An-Nahl ayat 36 Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul bagi setiap umat (untuk menyeru), ‘Sembahlah Allah dan jauhilah kesesatan (taghut)’.” Jangan lupa, nabi telah menyatakan kepada sahabat baginda awal-awal lagi bahawa “pada suatu hari nanti kamu akan menguasai istana maharaja Parsi.” Semua ini adalah GOL. Dr Danial sejak di tingkatan dua lagi, alhamdulillah, sudah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor Muslim yang berwibawa. Kemuncaknya ialah kita mahukan keredaaan Allah.

3- USAHA, USAHA DAN USAHA. Jika tidak dipecahkan ruyung bagaimana kan dapat sagunya. Dalam berusaha pasti ada cabaran. Lihatlah kepada GOL selalu agar rangsangan sentiasa diperolehi. Dalam berusaha hendaklah ditentukan jadual dan hendaklah ditingkatkan disiplin. Berkawanlah dengan mereka yang pentingkan USAHA, USAHA DAN USAHA agar dapat saling bantu-membantu.

4- IBADAH DAN DOA. Siapalah kita tanpa bantuan Allah. Justeru ibadah dan doa tidak boleh diperkecilkan sedikit pun. Jagalah solat dan bacalah Quran SETIAP HARI dan fahamilah maksudnya. Saya yakin dengan ini, insya Allah, hidup anda akan berubah dan terus berubah dan terus berubah ke arah kejayaan.

Semoga berjaya.