Artikel Khas

Mengapa Kebanyakan Bisnes Sukar Capai Kejayaan?

Rahsia utama untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan komersial ialah
‘menjadi unik’.

Seringkali saya mengulangi perkara ini kepada rakan-rakan bisnes dan
juga pelanggan saya – anda mesti menawarkan solutions atau penyelesaian
permasalahan dalam bentuk produk ataupun perkhidmatan yang belum ada
sesiapa tawarkan lagi! Kebanyakan syarikat perniagaan hanya masuk ke
dalam pasaran dan melakukan sama seperti apa yang peniaga lain lakukan. Ini
jelas dari pandangan dan persepsi masyarakat.

Dengan cara ini, anda tidak akan ke mana-mana. Sekiranya anda tiada
sebarang kelainan atau keunikan untuk ditawarkan, anda umpama penjual
sayur di pasar-pasar – anda menawarkan produk yang SAMA seperti peniaga
lain.  Anda hanya berupaya mendapatkan lebih ramai pelanggan sekiranya
anda sanggup menurunkan harga jualan sayuran anda. Dan ini  bukanlah
caranya untuk menjadi kaya!

Tanya diri anda sendiri persoalan ini, mengapakah sesetengah barangan
itu mahal harganya berbanding dengan barangan yang lain? Ianya kerana
barang yang mahal itu unik, jarang dijumpai ataupun sukar didapati.
Sebaliknya, barangan yang murah pula amat mudah didapati di mana-mana
sahaja!

Sekiranya matlamat anda adalah untuk membuat keuntungan, anda harus
pastikan yang anda berupaya menjadikan diri, bisnes dan produk anda unik;
bukannya menawarkan persamaan seperti ‘komoditi’ yang lainnya.
Sekiranya anda menawarkan sesuatu yang biasa-biasa sahaja, tiada apa yang
membezakan anda dengan peniaga yang lain,melainkan harga. Inilah yang mesti
anda elakkan kerana anda terpaksa menurunkan harga jualan dan juga
mengurangkan margin keuntungan bisnes anda. Kalau ini berterusan, tidak
lama lagi bisnes anda akan ‘gulung tikar’!

Tetapkan matlamat anda dalam setiap perkara yang anda lakukan; samada
merancang, menjalankan, mengurus dan membangunkan bisnes anda, tumpuan
utama haruslah diberikan kepada menawarkan keunikan dan kelainan!

Setiap aspek bisnes anda itu pula – daripada membangun atau
mengeluarkan produk atau perkhidmatan sehinggalah kepada promosi dan juga
penjualan kepada pelanggan – mestilah mempunyai ciri-ciri keunikan. Dan
ianya bukan sahaja unik semata-mata tetapi keunikan itu mestilah boleh
difahami dan dihargai oleh para pelanggan atau target market anda!